Perkhidmatan awam Lembah Kelang

Public, transport, Rapid, Monorail, KTMB, Kommuter, Teksi, Taxi, Bus, Local, e-hailing

Cari Blog Ini

Isnin, 29 September 2008

Suruhanjaya pengangkutan

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang bakal beroperasi pada pertengahan tahun depan merupakan bukti komitmen kerajaan untuk memastikan sistem dan infrastruktur pengangkutan awam negara menyamai tahap antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajim Ukin tidak menafikan sistem pengangkutan awam di negara ini masih banyak kelemahan dan perlu diperbaiki segera dalam usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat Malaysia.

''Sistem pengangkutan negara ini bukan sahaja tidak cekap tetapi mempunyai banyak masalah disebabkan terdapat pertindihan tugas dan tanggungjawab kerana ia membabitkan sekurang-kurangnya lima kementerian dan tujuh agensi serta jabatan.

''Jadi dengan penubuhan suruhanjaya ini, kerajaan akan memastikan sektor pengangkutan mempunyai garis panduan dasar yang jelas dan fokus dalam memperbaiki sistem pengangkutan di Malaysia,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.


Beliau berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang bakal dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan menentukan fungsi suruhanjaya berkenaan sama ada ia bebas atau diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri atau kementerian terpilih.

Tambah beliau, matlamat kerajaan menubuhkan Suruhanjaya itu juga bertujuan memastikan Malaysia memiliki satu sistem pengangkutan awam yang efisien, sekali gus menggalakkan rakyat menjadikan ia sebagai pengangkutan pilihan seperti di negara-negara maju.

Inisiatif itu adalah konsisten dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada tahap sedia ada iaitu 20 peratus kepada 30 peratus seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ujarnya.

Jelasnya, atas alasan itu maka kerajaan begitu prihatin memperuntukkan satu jumlah yang besar iaitu RM35 bilion untuk melaksana dan mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan awam pada Bajet 2009 lalu.

''Kerajaan amat serius dalam isu pengangkutan awam dan sebab itu juga kerajaan menubuhkan Suruhanjaya ini agar dapat memastikan Malaysia memiliki sistem pengangkutan awam terbaik untuk dimanfaat oleh rakyat,'' tambahnya.

Beliau menambah, Jawatankuasa yang terlibat dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam telah menjalankan kajian di beberapa negara, antaranya India, Jepun dan Singapura mencari model terbaik untuk dijadikan contoh dalam sistem pengangkutan di Malaysia.

Sumber dari Utusan Malaysia
Berita penuh sila lawat Utusan Malaysia

Tiada ulasan: