Perkhidmatan awam Lembah Kelang

Public, transport, Rapid, Monorail, KTMB, Kommuter, Teksi, Taxi, Bus, Local, e-hailing

Cari Blog Ini

Isnin, 28 Julai 2008

Pengakuan Mat Rempit

Info Dipetik : Mohd Nur Asnawi Daud Harian Metro 12 Mei 2008

KUALA LUMPUR: “Selepas meneguk ‘air setan’, saya jadi berani dan seronok melakukan aksi bahaya,” kata seorang Mat Rempit yang diberkas polis dalam operasi membanteras lumba haram di sekitar ibu kota, awal pagi semalam.

Mat Rempit dikenali sebagai Amir berkata, beberapa jam sebelum melakukan aksi ‘pacak’ di sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini, dia meneguk satu tin minuman keras yang dibeli di sebuah kedai dengan harga RM6.

“Kalau dalam keadaan normal, saya tidak berani melakukan aksi bahaya kerana sedar ia perbuatan yang boleh meragut nyawa saya dan pengguna jalan raya lain.

“Namun, kerana berada di bawah pengaruh alkohol, saya bertindak di luar batasan dan lupa diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lelaki itu yang juga bekas pelajar sebuah pusat pengajian di Perlis berkata, dia seronok melakukan perbuatan itu dan sering keluar bersama rakan.

“Ketika melakukannya saya memang seronok, namun bila kena tangkap dengan polis, rasa menyesal pun ada tapi sudah tidak berguna lagi.

“Kedua-dua ibu bapa juga tidak mengetahui saya terbabit dalam lumba haram dan minum arak,” katanya.

Amir berkata, selepas ditahan polis dan bakal dikenakan tindakan, aksi bahaya malam tadi mungkin yang terakhir buatnya.

Katanya, aktiviti seumpama itu tidak berfaedah dan membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya.

Amir antara 10 penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan Skuad 42 Polis Trafik Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Ketua Skuad 42 Polis Trafik Kuala Lumpur, Cif Inspektor Muhammad Farid Muntalib, berkata dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, polis memberkas tujuh penunggang dan dua pembonceng motosikal kerana memandu secara berbahaya di sekitar ibu kota.

Tiada ulasan: