Perkhidmatan awam Lembah Kelang

Public, transport, Rapid, Monorail, KTMB, Kommuter, Teksi, Taxi, Bus, Local, e-hailing

Cari Blog Ini

Selasa, 10 Jun 2008

Rayu bina hentian teksi

“Setiap hari kami berdepan situasi ibarat tikus dan kucing kerana bila penguat kuasa datang, kami kena lari. Tetapi demi keluarga, kami perlu melakukannya,” kata Haruun Mat Diah, 46, mengenai nasib pemandu teksi berdepan risiko disaman setiap hari oleh pihak berkuasa.

Haruun yang menetap di Puchong, berkata mereka berdepan risiko itu berikutan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), tidak menyediakan kemudahan hentian teksi di kawasan tumpuan pengguna seperti di depan Universiti LimKokWing dan Universiti Multimedia Malaysia.

“Kira-kira 70 pemandu teksi di sini terpaksa beredar dari kawasan berkenaan apabila penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), polis dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) melakukan pemeriksaan kerana jika tak kami akan disaman.

“Mereka (MPSp), hanya menyediakan hentian teksi di Street Mall, tetapi tiada hentian teksi dibina di tempat lain sedangkan permintaan menggunakan teksi amat tinggi di sini khususnya di kalangan pelajar dan pekerja,” katanya.

Menurutnya, sebagai pemandu teksi, mereka sudah pasti memberi tumpuan di kedua-dua kawasan itu, tetapi berdepan masalah meletakkan teksi mereka sementara menanti penumpang.

Katanya, sama ada mahu atau tak, pemandu teksi terpaksa meletakkan teksi di tepi jalan kerana tiada tempat khusus berbuat demikian.

“Tetapi, masalahnya apabila kami berbuat begitu, pihak berkuasa menyaman kami,” katanya.

Seorang lagi pemandu teksi yang beroperasi di Cyberjaya, C Paramjothy, 44, juga dari Puchong, berkata dia sudah tiga kali disaman sejak awal tahun ini apabila beroperasi di kawasan berkenaan.

“Sebagai pemandu teksi, pendapatan kami bukannya tinggi sangat dan jika selalu disaman, apa yang tinggal untuk kami menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Koperasi Pengangkutan Awam Putrajaya Berhad, Mohd Salleh Mat Zin berkata, pihaknya merayu MPSp menyediakan kemudahan hentian teksi di kawasan tumpuan di Cyberjaya.

“Kami sudah membuat permohonan kepada mereka menyediakan hentian teksi di beberapa kawasan seperti di depan Universiti Lim Kok Wing dan Universiti Multimedia Malaysia, tetapi hingga kini mereka (MPSp), belum memberi sebarang keputusan.

“Di kedua-dua kawasan ini saja terdapat kira-kira 20,000 pelajar, manakala terdapat lebih 30,000 penduduk di Cyberjaya yang memerlukan perkhidmatan awam,” katanya.

Tiada ulasan: